
GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa pasukannya menggali semula 48 mayat pada Khamis dari perkarangan Hospital Al-Shifa, yang sebelum ini adalah pusat perubatan terbesar di Gaza tetapi kini sebahagian besarnya musnah akibat serangan Israel.
Agensi itu pernah menjalankan usaha seumpamanya untuk mengembalikan jenazah kepada keluarga mereka jika dapat dikenal pasti, atau jika gagal, menguruskan pengebumian yang sewajarnya di lokasi lain.
Pasukan penyelamat menyerahkan 38 mayat selepas ia dikenal pasti oleh waris mereka, yang kemudian membawa jenazah untuk dikebumikan semula di tanah perkuburan lain, kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, kepada AFP pada Khamis.
“Sepuluh mayat lain yang digali semula telah diserahkan kepada jabatan forensik di Kementerian Kesihatan untuk proses pengecaman,” tambahnya.
Rakaman AFP menunjukkan pasukan penyelamat menggali di beberapa bahagian perkarangan hospital dan mengeluarkan beg putih yang dilaporkan mengandungi jenazah, sebelum dibalut dengan selimut dan dibawa pergi.
Hospital di Gaza, terutamanya Al-Shifa, berulang kali menjadi sasaran serangan tentera Israel sejak bermulanya perang, susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Israel menuduh Hamas menggunakan kemudahan perubatan sebagai pusat arahan dan tempat menahan tebusan yang diculik dalam serangan awal kumpulan itu.
Petugas kesihatan Gaza sebelum ini pernah menemui mayat di Hospital Al-Shifa.
Tahun lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyuarakan ‘kebimbangan mendalam’ selepas laporan mengenai penemuan kubur besar mengandungi ratusan mayat di dalam atau berhampiran hospital di Gaza. – AFP